Memperkasa pendidikan ugama sepanjang hayat kepada masyarakat



​Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman




LUMAPAS, Jumaat, 12 Jun. -  Sejak dilaksanakan secara formal pada tahun 1958, Kelas-kelas Dewasa Ugama yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Pelajaran Lanjutan terus berperanan dalam memperkasa pendidikan ugama sepanjang hayat bagi masyarakat.


Melalui kelas-kelas berkenaan, para pelajar berpeluang mempelajari bacaan Al-Quran secara bertajwid dan bertartil serta mendalami ilmu-ilmu asas Islam sebagai panduan dalam kehidupan seharian.  


Kelas-kelas berkenaan merupakan antara usaha berterusan JPI dalam memperluas peluang pembelajaran ugama kepada masyarakat serta meningkatkan penghayatan ajaran Islam melalui pembelajaran yang tersusun dan berterusan. 


Sehubungan itu, seramai 21 pelajar Kelas Dewasa Ugama, Sekolah Ugama Lumapas yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran diraikan dalam satu majlis yang diadakan di sekolah berkenaan, pagi tadi. 


Hadir selaku tetamu khas pada majlis berkenaan ialah Ketua Bahagian Pelajaran Lanjutan, JPI, KHEU, Dayang Hajah Surinah binti Haji Kula.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu khas majlis dan diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam.


Diikuti dengan bacaan Takhtim yang dipimpin oleh guru-guru Sekolah Ugama Lumapas, dan bacaan Doa Khatam oleh Dayang Hajah Mariah binti Haji Ahmad. 


Acara kemudiannya diserikan dengan persembahan dikir serta penyampaian sijil oleh tetamu khas majlis dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Dayang Hajah Faridah binti Haji Abd. Rahman.  


Majlis berkenaan diadakan adalah sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas kejayaan para peserta menamatkan pembacaan Al-Quran, di samping menyemai kecintaan terhadap Al-Quran serta menggalakkan penghayatan dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.


​​​Majlis berkenaan juga merupakan antara usaha JPI dalam memperkukuh penghayatan Islam dan memartabatkan syiar Islam di negara ini.


Close